HARI TERBUKA PPDN 2023 | PUSAT PENGIMEJAN DIAGNOSTIK NUKLEAR
» BERITA » HARI TERBUKA PPDN 2023

HARI TERBUKA PPDN 2023

 
SERDANG, 15 Mac – Pusat Pengimejan Diagnostik Nuklear (PPDN), Universiti Putra Malaysia memperkenalkan perkhidmatan klinikal pengimejan diagnostik berkualiti kepada staf dan komuniti setempat.
 
Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata, melalui kepakaran serta prasarana yang sedia ada di UPM beliau yakin pelbagai program kerja bersama pihak industri yang boleh dijalankan.
 
“Ini adalah sejajar dengan hasrat universiti untuk memperlihatkan kecaknaan universiti sebagai Menara Imu dan sejajar dengan Pelan Strategik UPM 2021-2025 iaitu Matlamat 2 Mewujudkan Hab Penyelidikan Dan Inovasi Yang Menjanakan Nilai Berteraskan Ekosistem Lestari,” katanya pada Program Hari Terbuka PPDN Tahun 2023 di sini.
 
Pengarah PPDN UPM, Prof. Dr. Fathinul Fikri Ahmad Saad berkata, PPDN komited untuk menjadi Pusat Pengimejan Diagnostik Nuklear bereputasi tinggi dan pusat sehenti bagi pengimejan diagnostik.
 
“Fokus PPDN adalah dalam perubatan terutamanya dalam skop penyelidikan, pengajaran serta menawarkan perkhidmatan pengimejan berkualiti tinggi dan kini berkolaborasi bersama agensi luar dalam mempromosikan saringan kesihatan,” katanya.
 
Selain itu, PPDN UPM telah melancarkan Pakej Program Saringan Kesihatan dengan kerjasama Kumpulan MegaKlinik Zahran dan Advanx Health yang menyediakan pemeriksaan kesihatan yang lebih komprehensif dan lengkap kepada pesakit khususnya.
Pempengaruh TikTok @drwanshare, Dr. Muhamad Hazwan Nazri berkata, perkhidmatan pengimejan diagnostik yang disediakan di PPDN adalah berteknologi tinggi dan kondusif serta menawarkan harga yang berpatutan.
 
“Pada awalnya semasa mendapatkan perkhidmatan di sini saya tidak jangka PPDN UPM mempunyai perkhidmatan dengan penggunaan peralatan berteknologi tinggi iaitu mesin MRI, mesin PET CT dan mesin Ultrasound,” katanya.
 
Pelajar Tahun 1, Bacelor Kejururawatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), UPM, Nurul Ain Nabila Mohmad Sallih berkata beliau gembira dapat hadir ke program hari ini serta pelbagai pengetahuan baharu yang dipelajari.
 
“Saya sebelum ini tidak tahu mengenai PPDN UPM dan apabila hadir ke program ini saya mengambil peluang untuk mengambil tahu perkhidmatan klinikal yang ditawarkan di sini untuk pelajar,” katanya. Rakannya Nur Alisya Mohammad Yusof berkata beliau teruja dengan fasiliti yang disediakan di PPDN UPM.
 
“Sebagai pelajar UPM saya berbangga kerana universiti mempunyai perkhidmatan fasiliti yang bukan sahaja boleh dimanfaatkan kepada pelajar malah kepada masyarakat dan sebagai pelajar saya berasa bertuah dengan teknologi perubatan yang ada di universiti,” katanya.
 
Sementara itu, PPDN UPM adalah sebagai pusat sehenti bagi pengimejan diagnostik dalam perubatan terutamanya dalam skop penyelidikan, pengajaran di luar UPM dan khususnya dalam UPM.
 
[Sumber : Berita UPM]
 
 
 
 
 
 

Tarikh Input: 17/03/2023 | Kemaskini: 17/03/2023 | faidhi

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGIMEJAN DIAGNOSTIK NUKLEAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397691644
-
SXETVAh~